KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa pihak pemimpin di peringkat akar umbi menjalankan penelitian khusus bagi mencari punca kepada penurunan undi kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas.
Menurut beliau, ia perlu dijalankan berikutan mahu mencari kelemahan BN di kawasan Asajaya yang boleh diperbaiki pihaknya bagi memenangi semula hati rakyat di kawasan itu agar menyokong BN.
“Walaupun BN tidak pernah kalah bagi kerusi Asajaya tetapi terdapat tempat mengundi yang pihak BN kalah pada setiap kali pilihan raya, kalau tidak kalah (di DUN Asajaya) pasti ada saluran-saluran yang kita kalah.
“Tapi tahun ini, kita telah menang jika dibandingkan dengan PRN 2011 dan PRU 2013 yang mana ada sesetengah kampung yang undian BN ada menurun sedikit.
“Kampung-kampung yang mempunyai jumlah undian yang sedikit menurun kepada BN, kita selidik semula dan mencari penawar agar perkara itu tidak berulang lagi pada masa depan.
“Mereka di pihak ranting-ranting, saya minta lihat di manakah salah dan silapnya dan jika diketahui pastikan ia dapat diatasi sebelum PRU tidak lama lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Penghargaan PRN Sarawak Ke-11 N.15 Asajaya kelmarin.
Beliau katanya, tidak menyangkal bahawa BN tidak pernah mengalami kekalahan di Asajaya tetapi jika diperhati dan dibuat penyelidikan bermula dari tahun 70-an, kawasan itu juga mempunyai ramai penyokong pembangkang yang tegar.