Sokongan padu kepada DAP bukti mereka mahu perwakilan dalam DUN bukan dalam kerajaan
KUCHING: Keputusan masyarakat Cina untuk tidak mempunyai perwakilan dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu dihormati.
Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdul Karim Rahman Hamzah menjelaskan bahawa masyarakat tersebut sudah menjelaskan suara mereka dengan lantang dan jelas menerusi sokongan padu yang diberikan kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) ketika pilihan raya negeri yang baru selesai.
"Tidak perlu ada kemasukan ‘pintu belakang’ bagi masyarakat Cina dalam kabinet.
“Masyarakat Cina sudah lantang dan jelas bersuara bahawa mereka tidak mahu perwakilan dalam kerajaan, dan kita mesti menghormati keputusan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi semalam bagi mengulas cadangan untuk menggubal undang-undang bagi membolehkan kerajaan negeri melantik wakil tidak terpilih daripada masyarakat Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Cadangan itu dikemukakan oleh Senator Datuk Idris Buang yang juga merupakan ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Karim berkata, dengan mempunyai wakil rakyat daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), ia juga mencerminkan kaum Cina diwakili.