POLITIKING dalaman persatuan sukan menyebabkan Sarawak gagal menjadi juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 yang dianjurkan negeri itu dari 20 hingga 30 Julai lepas.
Sehubungan itu, Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, proses 'pembersihan' perlu dilakukan untuk membolehkan Sarawak menjadi kuasa sukan di negara ini pada masa hadapan.
"Kita harus melakukan 'pembersihan' ini untuk memastikan persatuan sukan dalam keadaan baik, menentukan pusat kecemerlangan berada di tempat yang betul dan atlet yang benar-benar layak mewakili negeri," katanya.
Abdul Karim berkata demikian ketika menutup Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Sibu yang dianjurkan Persatuan Olahraga Bahagian Sibu di Stadium Tun Zaidi di sini hari ini.
Beliau membayangkan proses 'pembersihan' itu dilakukan secepat mungkin kerana Sarawak menyasarkan menjadi juara keseluruhan pada Sukma ke-19 di Perak pada 2018.