BINTULU: Golongan belia boleh mengemukakan apa juga isu dalam sesi `Town Hall’ bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sempena acara kemuncak pelancaran sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Suarah pada 13 Jun ini.
Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) merangkap pengerusi bersama jawatankuasa induk sambutan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pendekatan itu akan membolehkan kerajaan mengetahui sedikit sebanyak mengenai kemahuan dan keperluan belia bandar dan luar bandar negeri ini.
Katanya, sesi itu akan membincangkan apakah masalah dan harapan belia memandangkan golongan itu merupakan aset penting dalam pembangunan negara.
“Sesi diskusi itu tidak akan memfokuskan kepada satu-satu isu sahaja sebaliknya terpulang kepada isu dan persoalan yang dikemukakan oleh belia. Sebab itu Ketua Menteri bersetuju terlibat dalam sesi tersebut dan berkomunikasi secara langsung dengan belia mengenai apa sahaja masalah dihadapi belia di negeri ini,”katanya dalam sidang media di Wisma Residen semalam.
Beliau berkata, golongan belia terlibat dalam sesi tersebut disertai belia seluruh Sarawak termasuk ahli-ahli Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS), partipolitik, pelajar universiti dan lain-lainnya.
Menurutnya, sesi `Town Hall’ itu juga bukan hanya berakhir pada hari tersebut sebaliknya akan diteruskan di tempat lain sehingga penghujung tahun ini.
Katanya, ia cara terbaik membolehkan kerajaan dan agensi terlibat mengetahui apa tindakan yang boleh dilaku bagi memenuhi keperluan dan kehendak belia negeri ini terutama keperluan dalam prasarana sukan, ekonomi, sosial dan sebagainya.