Showing posts with label Advocates Association of Sarawak (AAS). Show all posts
Showing posts with label Advocates Association of Sarawak (AAS). Show all posts

Friday, 13 September 2013

Golongan profesional harus aktif bersukan


KUCHING: Golongan profesional disyorkan untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti sukan atau beriadah di samping menjalan kerja harian mereka.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia kerana golongan profesional yang lebih sihat dan berdaya saing mampu membawa kebaikan kepada rakyat negeri ini.

“Jangan memberi tumpuan hanya kepada kerja sahaja, masuk dan keluar pejabat dari jam 9 pagi hingga jam 5 petang tetapi kita juga harus serius dalam sukan rekreasi yang kita pilih.

“Golongan profesional yang aktif, sihat dan berdaya saing apabila bersukan juga boleh diterjemahkan dan diguna pakai di tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada penutupan Inter Profesional Game (IPG) anjuran Ultimate Profesional Centre Sdn Bhd yang dihadiri Pengerusinya Albert Nichol di sini, malam Selasa lalu.

Abdul Karim yang juga Menteri Muda Perumahan menegaskan, ia selari dengan hasrat kerajaan untuk melihat golongan profesional bukan sahaja menjalankan kerja dengan baik tetapi beriadah dengan baik, yang akhirnya akan menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negeri.

Mengulas mengenai IPG yang diadakan kata beliau, ia menjadi platform untuk mencungkil lebih ramai bakat yang ada di kalangan profesional.