“Mengapa mereka tiba-tiba berubah arah? Pada masa sama mengapa DAP mahu masyarakat Dayak menjadi Ketua Menteri dan mereka tidak berminat dengan jawatan tersebut." -Tuan Haji Abdul Karim Rahman Hamzah
SIBU: Parti Tindakan Demokratik (DAP) diingatkan agar tidak terus mengelirukan masyarakat Dayak dengan pelbagai gimik politik untuk meraih sokongan bagi mencapai agenda mereka.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Negeri Datuk Dr Stephen Rundi berpendapat, parti pembangkang dari Semenanjung Malaysia itu tidak mempunyai niat untuk membantu masyarakat Dayak di sini.
“Semua tahu mereka hanya cuba meraih sokongan masyarakat Dayak untuk berkuasa dengan memperkenalkan pelbagai gimik seperti Impian Sarawak, ‘Go Rural’ dan sebagainya.
“Namun berdasarkan amalan mereka sebelum ini, DAP tidak pernah mempedulikan masyarakat Dayak. Ini semua semata-mata kerana politik.
“Oleh itu, berhenti mengelirukan masyarakat Dayak dengan pelbagai tipu helah,” ujar Dr Rundi yang juga Menteri Muda Kemudahan Awam.
Beliau berkata demikian ketika diminta memberi pandangan mengenai kenyataan Pengerusi DAP Negeri, Chong Chieng Jen yang menegaskan pendirian mereka untuk mencalonkan dari kalangan masyarakat Dayak sebagai Ketua Menteri sekiranya Pakatan Rakyat (PR) menang pada Pilihan Raya Negeri akan datang.
Chong dipetik berkata demikian ketika Sambutan Rumah Terbuka Gawai Dayak di Stadium Mini Sri Aman minggu lepas.