KERAJAAN Negeri akan memberi sokongan padu kepada Persatuan Ekuestrian Sarawak dalam usaha untuk membangunkan sukan berkuda di negeri pada masa depan. Menteri Muda Pembangunan Sukan, Haji Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sukan berkuda agak asing kepada kebanyakan penduduk negeri ini.
Sehubungan itu, katanya, maklum balas daripada persatuan sangat diperlukan. Antaranya dari segi bantuan kewangan, permohonan tanah untuk aktiviti sukan berkuda, rangkaian hubungan dan seumpamanya.
“Sekiranya mempunyai masalah, persatuan boleh memohon bantuan daripada kita kerana Kementerian Pembangunan Sosial juga bertanggungjawab dalam bidang sukan di negeri ini,” ujarnya semasa menghadiri Majlis Jamuan Malam dan Amal Ekuestrian Sarawak 2013 malam kelmarin.
Kata Karim, ahli persatuan disarankan untuk lebih proaktif dalam menjalankan aktiviti sukan berkuda kerana sukan tersebut berpotensi diterapkan dalam acara bersukan di negeri ini.
“Saya yakin, sekiranya sukan berkuda ini mencapai tahap yang diperlukan, sukan ini boleh dimasukkan dalam Sukan Malaysia 2016 (SUKMA) yang akan dijadualkan di Sarawak, maka, sukan berkuda ini perlu pendedahan yang banyak,” tegasnya.
Terdahulu, Karim mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada persatuan dalam menjalankan aktiviti persatuan.
Beliau juga dilantik sebagai Ahli Kehormat Persatuan Ekuestrian Sarawak.