Jangan biarkan hanya beberapa Ahli Parlimen atau ADUN menentukan pelaksanaannya bagi semua orang
KUCHING: Jangan membiarkan hanya beberapa Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menentukannya bagi semua orang.
Demikian pandangan Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah merujuk kepada pelaksanaan hukum hudud di negara ini.
Sebaliknya, beliau berkata untuk melaksanakan enakmen tersebut, semua pihak harus melihat sama ada ia dapat diterima dengan baik atau tidak oleh keseluruhan rakyat terlebih dahulu.
“Jika mahu mengubahnya, mungkin ia perlu melalui referendum… jangan membiarkan hanya beberapa Ahli Parlimen atau ADUN menentukannya bagi semua orang.
“Kita harus melihat sama ada ia dapat diterima dengan baik atau tidak terlebih dahulu dan jika tidak, maka kita harus terus berpegang kepada sistem undang-undang yang telah kita amalkan selama ini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Karim yang juga Menteri Muda Perumahan menambah, adalah tidak perlu untuk sistem undang-undang negara yang diamalkan selama ini diubah kerana ia adalah masih relevan dan baik.
“Bagi saya, untuk mengatakan undang-undang (Islam atau bukan Islam) perlu diamalkan, adalah tidak wajar juga kerana sama ada dalam Islam, apa sahaja kebaikan yang dilakukan oleh ummahnya, maka ia menjadi baik di mata Tuhan dan begitu juga bagi agama lain.