Memadai jika pindaan dibuat bagi memperbaiki akta tersebut, kata Abdul Karim
KUCHING: Tidak ada keperluan untuk memansuhkan Akta Hasutan bagi digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional.
Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sebaliknya memadai jika pindaan dibuat bagi memperbaiki akta tersebut.
“Kenapa perlu memansuhkan Akta Hasutan sekarang? Adakah ia mempunyai banyak kelemahan atau pihak berwajib yang menjalankan penguatkuasaan tidak memainkan peranan?
“Secara peribadi, saya tidak melihat keperluan untuk mewujudkan akta baharu, sama ada ia dipanggil Akta Keharmornian Nasional atau apa sahaja, jika niatnya sama,” katanya.
Beliau berkata antara fasal-fasal tertentu yang boleh dibuat selari dengan perubahan semasa adalah berkaitan media sosial tetapi bukan keseluruhan akta.
“Memperkenalkan akta baharu adalah seperti melahirkan bayi.
“Kita tidak memerlukan itu di Malaysia melainkan kerajaan bangga akta itu diperkenalkan kerajaan,” katanya.