KUCHING: Politeknik Kuching diyakini dapat menyumbang ke arah melahirkan sebahagian besar daripada tenaga kerja separa mahir seiring dengan keperluan semasa Sarawak menjelang 2030 nanti.
Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setakat ini kerajaan masih berhadapan dengan kekurangan tenaga kerja tempatan dalam bidang teknikal bagi mengisi keperluan industri.
“Pihak swasta khasnya para pelabur asing di Malaysia masih bergantung kepada pekerja dari negara luar bagi tujuan tersebut.
“Sebagai contoh, syarikat Tokuyama, Sakura Ferroalloys dan Press Metal di Taman Industri Samalaju, Bintulu masing-masing berhadapan dengan masalah kesukaran mendapatkan pekerja tempatan dan oleh itu, mereka terpaksa mencari alternatif dengan mengambil pekerja asing untuk beroperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Majlis Penutupan Minggu Suai Kenal Pelajar Sesi Jun 2015 yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali di Politeknik Kuching di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Politeknik Kuching Sarawak Sahul Hamed Abdul Wahab, Timbalan Pengarah Akademik Mohd Anwar Dris, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Jemein Ental dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar Saripah Siti Zulaini Wan Abdul Rahman.
Kewujudan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) sejak 2006 merupakan wawasan 2030 kerajaan negeri bagi menjadikan Sarawak sebagai negeri terkaya di Malaysia.