BETONG: Golongan belia harus sedar bahawa penyebaran maklumat palsu dalam media sosial menimbulkan pelbagai kesan negatif khususnya melibatkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Menteri Muda Pembangunan Belia dan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata golongan belia seharusnya sedar penyebaran maklumat palsu bukan boleh dimain-mainkan dalam laman sosial kerana ia mampu tersebar dengan pantas dan boleh menyebabkan salah faham di kalangan masyarakat.
“Jangan menggunakan kemudahan teknologi itu melayari sebarang laman web negatif yang boleh mendatangkan kesan tidak baik pada diri, bangsa dan negara.
“Golongan belia harus bijak mengguna aplikasi-aplikasi teknologi maklumat media sosial untuk membantu mengetahui isu-isu semasa dalam dan luar negeri,” katanya pada Majlis Penutupan Penangguhan Program Motivasi Belia ‘Kawanku Sayang Keluargaku Kenang’ di Pusat Sumber Pembangunan Desa (PSPD) Hulu Layar pada April 18 lepas.
Program dianjurkan Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) dan Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Negeri melibatkan 75 belia.
Menurut Abdul Karim, menjadi dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) mementingkan peranan belia yang menjadi pelapis pemimpin negara supaya mereka tidak terjebak dalam masalah sosial melalui sokongan pelbagai pihak.
“Kerajaan tidak meminggirkan peranan belia dalam mencorakkan kemajuan negara dan pelbagai program belia diadakan bagi mentransformasikan belia maju dalam pelbagai aspek.