“Bagaimanapun saya percaya Bumiputera di Sarawak tidak mudah dipengaruhi dan telah masak dengan politik kotor pembangkang yang cuba memecah belah keutuhan rakyat." Yang Berhormat Tuan Haji Abdul Karim Rahman Hamzah
KUCHING: Populasi Dayak di negeri ini terlalu kecil untuk kemunculan sebuah lagi parti berasaskan Dayak yang kukuh daripada sudut politik.
Presiden PRS Tan Sri James Masing berkata adalah lebih baik untuk Dayak bersatu di bawah satu parti yang menjamin keutuhan rakyat.
Bagaimanapun katanya, beliau tidak menghalang mereka daripada cuba menubuhkan sebuah lagi parti Dayak iaitu Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan jika diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) akan dikenali sebagai PBDS Baru.
“Malaysia mengamalkan kebebasan berpersatuan dan saya ucapkan selamat berjaya kepada mereka,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas berhubung isu ahli-ahli PBDS yang setia mahu mewujudkan PBDS Baru.
Sementara itu Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) Abdul Karim Rahman Hamzah berkata penubuhan PBDS adalah satu daripada agenda pembangkang untuk memecah belah parti Bumiputera.
Katanya, pembangkang akan mencari apa jua cara untuk memecah belah kesatuan yang kukuh di kalangan Bumiputera di negeri ini.
Bagaimanapun, beliau percaya penubuhan PBDS Baru tidak mampu mempengaruhi rakyat Bumiputera dengan mudah berdasarkan kepada sokongan yang ditunjukkan pada pilihan raya lepas.