Showing posts with label Chung Chuan Pin. Show all posts
Showing posts with label Chung Chuan Pin. Show all posts

Sunday, 6 May 2012

160 atlet taekwondo seluruh Sarawak berentap


“Dengan mempelajari taekwondo, seseorang itu mampu meningkatkan keyakinan diri, displin dan memperolehi ramai kenalan dari tempat-tempat yang lain.” Tuan Haji Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING: Seramai 160 atlet dari seluruh negeri berentap pada Kejohanan Taekwondo Sarawak yang membuka tirainya di Kompleks Sukan Unimas, Kota Samarahan semalam.

Kejohanan dua hari anjuran Persatuan Taekwondo Negeri Sarawak (PTNS) itu terbahagi kepada empat kategori iaitu junior (10-13 tahun), senior (14-17 tahun), terbuka (16 tahun ke atas dan skuad Sukma) dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi pasukan jemputan pada kejohanan tersebut kali ini.

Pengarah Teknikal PTNS, Tan Check Joon berkata objektif kejohanan adalah bagi membuat pemilihan terakhir skuad taekwondo Sukma selain memberi pendedahan kepada skuad negeri sebelum berlepas ke Kuantan.

Beliau menjelaskan, pemenang pada kejohanan itu akan mewakili Sarawak pada Kejohanan Taekwondo Remaja Kebangsaan Sportexcel-NSC-Milo-TM (WTF) ke-3 yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Negeri, Petra Jaya pada 12 Mei ini.

Antara peserta yang dijangka akan mencuri tumpuan ialah Mohd Shazerick Zulariffin, peserta Sukma Sarawak yang berjaya meraih pingat emas pada Kejohanan Taekwondo Remaja Kebangsaan Sportexcel-NSC-Milo-TM (WTF) ke-2 di Ipoh, Perak pada 16 April lepas.

Hadir merasmikan pertandingan ialah Menteri Muda Pembangunan Belia, Abdul Karim Rahman Hamzah.

Dalam ucapannya, Karim berkata sukan taekwondo semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat tempatan dan ia bakal menjadi sukan penting di seluruh negara.