KUCHING: Penglibatan remaja dalam gejala tidak bermoral seawal usia 15 tahun antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan HIV di negeri ini.
Sehubungan itu, Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kempen kesedaran dan pencegahan terhadap masalah itu perlu diperluas dan diperhebatkan di peringkat sekolah.
Katanya, meskipun ia tidak melibatkan sukatan pembelajaran di sekolah, namun program kesedaran mampu membantu memberi penerangan bersifat pencegahan.
“Walaupun tidak melibatkan silibus tetapi ia tidak mendatangkan masalah untuk menjalankan kempen kesedaran tentang bahaya HIV di kalangan generasi muda,” ujarnya.
Karim berkata demikian ketika berucap pada ceramah Kuching Zero HIV sempena projek Bandar Raya Sejahtera Menuju Sifar HIV Menjelang 2020 di Auditorium FINAS di Jalan Sultan Tengah di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak Abang Sardon Abang Hashim.
Menurut beliau, pencegahan dari peringkat awal penting supaya generasi muda tidak terjerumus ke dalam masalah sosial tidak bermoral.