KUCHING: Masalah reka bentuk rumah yang tidak menarik antara punca rumah Skim Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Rangau di Limbang tidak dapat dijual sepenuhnya.
Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kementerian merancang perumahan namun kadangkala ia tidak mencapai matlamat atau tujuan termasuk RPR di Rangau.
Menurut beliau, projek RPR Rangau yang dibina pada tahun 2003 dan siap tahun 2008 itu tidak mendapat sambutan dan hasil maklum balas daripada pembeli serta orang ramai, ia disebabkan reka bentuknya.
“Ekoran itu usaha kita untuk menjual tidak mencapai apa yang diharapkan oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC).
“Bagaimanapun, setakat ini HDC masih dalam proses merancang semula projek tersebut melalui anak syarikatnya Daya Builders Sdn Bhd (DBSB).
“Dalam projek RPR di Rangau, sejumlah 540 unit rumah dibina dan daripada jumlah itu hanya 139 unit dapat dijual manakala selebihnya atau 332 unit tidak dapat dijual dan telah menyebabkan ia terbengkalai begitu sahaja,” katanya.