Peruntukan bagi aktiviti perlu diurus dengan bijak dan penuh tanggungjawab: Karim
KUCHING: Badan dan persatuan belia diingat amanah dan bertanggungjawab menggunakan dana yang diperuntuk untuk aktiviti persatuan masing-masing.
Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dalam setiap organisasi atau badan mahupun persatuan, masalah pertama perlu dihadapi ialah pengurusan kewangan.
“Ia bukan perkara mudah. Di sinilah kita mahu menasihat badan dan persatuan belia supaya lebih bijak mengurus kewangan termasuk mencari bantuan menganjur sebarang aktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri 2015 anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri dihadiri Pengarah Jabatannya Abd Haris Ishak di sini, semalam.
Menurut Abdul Karim, tidak dinafikan terdapat persatuan dan badan tertentu mengguna peruntukan atau dana diberi bagi tujuan lain, bukan berasas aktiviti disasarkan.
“Kadangkala ada memohon peruntukan menganjur aktiviti, namun setahun selepas itu sebaliknya berlaku, duit digunakan ke lain.
“Kerajaan akan mempertimbang atau melulus permohonan peruntukan jika mereka membuat kertas kerja dilihat munasabah dan masuk akal,” katanya.