KUCHING: Lebih 150 pelumba basikal terbaik dari seluruh negara akan menyertai Kejohanan Lumba Basikal GP Kebangsaan Sirkit Sarawak 2012 di Jalan Politeknik/Matang pada 22 dan 23 September ini.
Kejohanan yang menawarkan hadiah berjumlah keseluruhan RM14,290 itu dianjur oleh Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak (PBS) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan mendapat sokongan Kementerian Pembangunan Sosial (KPS).
Menteri Muda Pembangunan Belia Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sirkit di Sarawak adalah yang ketiga daripada lima sirkit selepas Kedah dan Kelantan.
Sirkit keempat akan diadakan di Perak pada November 2012 (200km) dan kelima di Melaka pada Disember 2012 (250km).
“Objektif utama kejohanan tersebut adalah meningkatkan mutu pelumba-pelumba kebangsaan di samping mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan kompetitif ini,” katanya semasa sidang media di Bangunan Baitul Makmur semalam.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap KPS Affandi Keli, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sukan KPS Mering Wan dan Setiausaha PBS Zulaihi Seri.
“Melalui kejohanan ini juga, kita dapat mengenal pasti pelumba-pelumba yang layak dan berpotensi untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa.