KUCHING: Menteri Muda Belia Abdul Karim Rahman Hamzah semalam menekankan kepada persatuan-persatuan belia negeri ini agar mengatur program serta aktiviti mengikut kehendak dan minat para belia secara menyeluruh.
Katanyanya ia adalah bagi menjaga dan memperbaiki kadar penglibatan para belia dalam setiap program dan aktiviti yang dijalankan dari semasa ke semasa.
“Kalau kita dapat menjangkau 30 hingga 40 peratus penglibatan belia terhadap program dan aktiviti yang dijalankan, mungkin boleh dianggap sebagai satu kejayaan kerana untuk mengubah masyarakat adalah susah.
“Sebab itu, kalau dapat kita harus mengatur program dan aktiviti mengikut apa yang mereka suka.
“Kalau sukan kita anjur sukan atau kalau keusahawanan kita anjur keusahawanan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Persatuan Belia Negeri Sarawak 2012 di sini, kelmarin.
Hadir sama Pemangku Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak Razali Mohamad.