Persembahan kumpulan yang menyertai pertandingan citrawarna sempena pembukaan ConFest Unimas 2018 di Dataran Canselori, Kampus Unimas. |
KOTA SAMARAHAN, Okt 28: Festival Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (ConFest Unimas) 2018 sempena majlis konvokesyen universiti itu yang ke-22 telah membuka tirainya dengan pertandingan tarian citrawarna di Dataran Canselori, Kampus Unimas, di sini, semalam.
ConFest Unimas 2018 dan pertandingan citrawarna tersebut telah dirasmikan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan disaksikan Naib Canselor Unimas, Professor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dan Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas, Tan Sri Datuk Sri Panglima Sulong Matjeraie.
Sebanyak 18 kumpulan tarian menyertai pertandingan citrawarna itu iaitu kumpulan Kolej Rafflesia, Kolej Dahlia, Kolej Kenanga, Kolej Bunga Raya, Kolej Kasturi, Kolej Tun Ahmad Zaidi, Kolej Sakura, Kolej Allamanda, Kolej Cempaka, Kolej Seroja, Universiti Teknologi Mara Kota Samarahan, Universitas Tanjung Pura, SMK Kota Samarahan, SMK Tun Abdul Razak, SMK Wira Penrissen, SMK Muara Tuang, SMK Hajah Laila Taib dan Petra Dancers.
Visit Sarawak Campaign |
Terdapat tiga kategori pertandingan iaitu kategori terbuka, kategori sekolah menengah dan kategori kolej kediaman Unimas dengan juara kesemua kategori terbabit akan menerima hadiah RM2,000 dan piala pusingan manakala naib juara menerima RM1,500 dan tempat ketiga menerima RM1,000.
Kumpulan yang memenangi Anugerah Kustom Terbaik akan menerima hadiah RM500 dan yang memenangi Anugerah Susunan Muzik Terbaik bagi setiap kategori akan menerima hadiah RM300.
Selain pertandingan tarian citrawarna, acara-acara lain ConFest Unimas 2018 yang akan sehingga Nov 3 depan ialah pertandingan futsal, pertandingan debat, E-Sport, larian konvokesyen, jualan makanan dan minuman disamping konsert perdana yang akan diserikan kehadiran artis Sufian Suhaimi dan artis tempatan pada Okt 31 depan. — DayakDaily
No comments:
Post a Comment