Showing posts with label Latif Jem. Show all posts
Showing posts with label Latif Jem. Show all posts

Thursday, 16 October 2014

Manfaat cuti sekolah dengan aktiviti berfaedah


Ia bertujuan mengelakkan sebarang aktiviti tidak sihat berlaku di kalangan murid, kata Karim

KREATIF: Karim (tengah) mendengar taklimat daripada Azran (dua kanan) mengenai ciptaan kraf tangan daripada murid sekolah rendah yang menyertai Program Kraf-Mega RIMUP-Pasca UPSR 2014, di Kota Samarahan, semalam.

KOTA SAMARAHAN: Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mahu ibu bapa memanfaatkan cuti persekolahan hujung tahun anak-anak dengan pelbagai aktiviti berfaedah.

Menurutnya, penganjuran aktiviti seumpama itu seharusnya dijadikan sebagai aktiviti yang ditunggu-tunggu oleh murid.

“Saya yakin aktiviti dan program yang dianjurkan pada musim cuti sekolah adalah sesuatu yang amat baik selain menjadi ruang untuk murid sekolah berkumpul bersama rakan sebaya.

“Pada masa sama, ia bertujuan mengelakkan sebarang aktiviti tidak sihat berlaku di kalangan murid lebih-lebih lagi pada waktu cuti sekolah.

“Justeru, saya mahu menyeru ibu bapa di luar sana untuk menghantar anak-anak menyertai program dan aktiviti yang mendatangkan manfaat semasa cuti persekolahan,” katanya.

Bagi merealisasikan hasrat itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya menyarankan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), jawatankuasa kampung mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu dalam merencana program untuk anak-anak.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Kraf-Mega Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP)-Pasca Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini, semalam.