Sasar 500 pokok - Usaha MDS pelihara habitat, mewujudkan persekitaran yang kondusif
KOTA SAMARAHAN: Majlis Daerah Samarahan (MDS) menyasarkan menanam 500 pokok setahun, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Kesihatan Awam dan Pelancongan MDS Dr Chew Kian Peng.
Menurut beliau, inisiatif tersebut merupakan salah satu usaha MDS untuk memelihara habitat dan mewujudkan persekitaran yang kondusif.
“Kami di MDS tidak ketinggalan dalam melaksanakan inisiatif menjaga habitat dengan menyasarkan untuk menanam sebanyak 500 pokok setahun selaras dengan slogan majlis ‘Cantik, Hijau dan Bersih’,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Habitat Sedunia sempena 30 Tahun Gemilang MDS di sini, semalam.
Justeru sempena sambutan tersebut, MDS telah menanam pokok di sekitar jalan berhampiran bangunan baharu Mahkamah Bumiputera dan Majlis Adat Istiadat di Lot Fasa II dan III di sini.
Usaha tersebut turut dijayakan dengan penglibatan agensi kerajaan, pemimpin masyarakat, para pelajar IPTA dan komuniti setempat.
Mengulas mengenai sambutan Hari Habitat Sedunia, Chew berkata ia adalah satu sambutan peringkat global yang dianjurkan oleh semua negara ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi meningkatkan kesedaran akan kepentingan membangunkan penempatan manusia yang selesa dan kondusif.
“Tujuan Hari Habitat disambut di seluruh dunia adalah untuk memperingati dan menyedarkan kita semua bahawa semua berhak mempunyai tempat tinggal yang selesa dan selamat untuk didiami serta kemudahan asas dan persekitaran yang segar,” katanya.