UNTUK PBBS: Abdul Karim (tiga kiri) menyampaikan sumbangan kepada Haidel sambil diperhatikan oleh Aidel (dua kiri). |
KUCHING: Dua puluh lima pemain bola sepak Samarahan bakal menggalas cabaran getir dalam misi menjulang Piala Sarawak 2012 apabila kejohanan berprestij tersebut bermula Isnin depan di Miri.
Pasukan yang dibimbing oleh Awang Jobli Awang Bidin dan dibantu bekas pemain Sarawak Ideris Untong pastinya mahu mengulangi kejayaan yang pernah dicapai pada 2008.
Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS), Haidel Heli berkata pasukannya lebih mantap kali ini dengan dibarisi hampir separuh muka-muka baru yang dipilih dari beberapa bahagian negeri.
“Saya meletakkan harapan yang tinggi terhadap pasukan ini untuk muncul juara Piala Sarawak 2012 dan ia pasti tercapai sekiranya semua pemain memberikan komitmen serta persembahan yang berkualiti,” katanya.
“Kita telah mengharungi banyak latihan intensif serta beberapa siri perlawanan persahabatan untuk memantapkan pasukan. Justeru, tidak mustahil Samarahan muncul juara pada edisi kali ini.”
Beliau berkata demikian semasa majlis makan malam bersama pasukan yang turut dihadiri oleh Menteri Muda Pembangunan Belia, Abdul Karim Rahman Hamzah, ADUN Sadong Jaya, Aidel Lariwoo, Residen Bahagian Samarahan Ismail Hasni, Kapten Kelab Golf Sarawak (KGS) Abdul Jalil Abdul Rahman dan Timbalan Presiden PBBS Ismawi Muhammad kelmarin.
Menurutnya lagi, Samarahan adalah pasukan pilihan untuk muncul setelah kehadiran semula jurulatih Awang Jobli yang pernah membawa pasukan tersebut menjadi juara pada edisi 2008.