Showing posts with label Darul Hana. Show all posts
Showing posts with label Darul Hana. Show all posts

Wednesday, 20 November 2013

Kerja tapak pembinaan masjid di Darul Hana sudah dimulakan


KUCHING: Kerja-kerja tapak untuk pembinaan masjid di projek pembangunan Darul Hana sudah dimulakan di bawah pelaksanaan fasa pertama.

Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setakat ini tapak tersebut telah siap ditimbus dengan tanah dan pembinaan masjid dijangka akan dimulakan pada tahun depan.

“Cadangan Pelan Struktur Pembangunan Darul Hana akan dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Perancang Negeri (SPA) pada Disember depan untuk mendapat kelulusan,” ujar Abdul Karim pada sesi soal jawab Persidangan DUN semalam.

Beliau yang mewakili Menteri Perumahan menjawab soalan Dr Abdul Rahman Junaidi (BN-Pantai Damai), turut memaklumkan bahawa tanah-tanah yang tidak berpenghuni di kawasan tersebut telah diambil milik oleh Jabatan Tanah dan Survei bagi pembangunan projek tersebut dan pampasan juga telah dibayar.

“Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Komuniti dan Komunikasi untuk mewujudkan jaringan dan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan pihak yang berkepentingan dan penduduk yang terlibat.

“Antara program yang telah dijalankan termasuk bengkel bersama ketua-ketua jabatan di samping mengadakan pameran bersama penduduk dan ketua masyarakat,” jelas Abdul Karim.

Di samping itu, sesi dialog yang melibatkan Ketua Menteri turut diadakan bagi memberi penjelasan mengenai pendekatan kerajaan dalam projek pembangunan Darul Hana dan menangani pelbagai persoalan yang dibangkitkan oleh penduduk yang terlibat.