Pages

Monday, 4 March 2013

Pengundi di Kota Samarahan diminta tunai tanggungjawab, kata Karim

March 4, 2013


ASAJAYA: Pengundi di Parlimen Kota Samarahan diminta bersedia menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Seruan itu dilaungkan Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya Abdul Karim Rahman Hamzah yang turut memberitahu, sebagai warganegara Malaysia individu bergelar pengundi harus memikul amanah itu sebaik-baiknya.

Tegasnya, ia penting bagi menentukan kestabilan dan meneruskan arus pembangunan negara demi mencapai wawasan sebagai sebuah negara maju menjelang 2020 nanti.

“Pada hari ini kita meraikan Hari Raya Tahun Baharu Cina dan tidak lama lagi kita akan bertembung satu lagi hari raya iaitu pilihan raya.

“Harapan saya apabila tiba pilihan raya nanti bersama-samalah kita sebagai pengundi di kawasan ini (Parlimen Kota Samarahan) menjalankan tanggungjawab dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Ular sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Daerah Asajaya di Dewan Serba Guna SJK Chung Hua Asajaya kelmarin.

Pada masa yang sama Karim berkata, pengundi yang terdiri daripada masyarakat Cina di situ juga memainkan peranan penting bagi menentukan kemenangan Barisan Nasional (BN) di kerusi itu.

“Harapan saya kepada pengundi terutama daripada masyarakat Cina walaupun jumlah tidak ramai iaitu kira-kira 10 peratus tetapi jumlah tersebut amat penting dalam kita menentukan kemenangan besar BN dalam pilihan raya kelak,” tambahnya.

Menyentuh mengenai calon yang bakat bertanding di kerusi itu, beliau memberitahu bahawa calon berkenaan sudah pastinya seorang anak tempatan.

Selain itu, Karim yang juga Menteri Muda Perumbahan menyeru masyarakat di kawasan itu mengekalkan keharmonian dan perpaduan supaya sentiasa hidup dalam Bersatu padu.

“Walaupun kita berbilang kaum, berbeza adat resam dan agama, sikap hormat-menghormati antara satu sama lain perlu dikekalkan agar keharmonian dan perpaduan yang kita kecapi dapat terus dikekalkan,” ujarnya.

Pada majlis itu, Karim turut menghulurkan sumbangan peribadi sebanyak RM50,000 kepada SJK Chung Hua Asajaya untuk menambah dana pembinaan bangunan baharu sekolah itu yang kekurangan dana sebanyak RM250,000.

Hadir sama Pegawai Daerah Asajaya Rubiah Wang, pengerusi pengelola Steward Then, Penaung Utama Liew Shark Sen, Temengung Chek Bujang dan tetamu kehormat lain.
  

No comments:

Post a Comment