Sunday 10 March 2013

Parlimen Samarahan akan sentiasa jadi kubu kuat BN


SAMARAHAN: Parlimen P.197 Samarahan akan sentiasa menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) dengan majoriti besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Belia Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Samarahan amat rapat dengan Ketua Menteri yang merupakan pencetus kepada banyak perubahan di kawasan ini.

Katanya, daripada kawasan paling sukar dihubungi, di bawah pimpinan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, kawasan itu muncul sebagai antara yang pesat membangun dari segala aspek.

“Politik pembangunan yang dibawa oleh Ketua Menteri kepada Samarahan telah berjaya mentransformasikan Samarahan kepada sebuah kawasan yang membangun sebagai pusat pendidikan.

“Atas sebab itu, jika anda mahu melihat kepimpinan Ketua Menteri diteruskan, maka pilihlah Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang yang saya kira kurang daripada dua bulan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen P.197 Kota Samarahan dan penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 bertempat di Stadium Tertutup Samarahan di sini, semalam.

Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata, di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), kerajaan telah meluluskan kira-kira RM1.2 bilion untuk Samarahan bagi tempoh 2010-2013.

Peruntukan ini, menurut Karim, adalah untuk projek-projek kemudahan asas seperti jalan, air, elektrik termasuk sekolah-sekolah serta keperluan rakyat lain.

Justeru, katanya, sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan BN, adalah wajar untuk rakyat mengundi BN pada pilihan raya akan datang seterusnya diberikan mandat untuk memimpin negara.

“Jika anda masih mahu melihat kepimpinan Ketua Menteri dan Perdana Menteri kita diteruskan pilihlah BN.

“Pakatan Rakyat tidak mempunyai pemimpin yang boleh mengambil alih kepimpinan kerajaan sedia ada.

“Dan, saya berani memberikan jaminan bahawa P.197 Kota Samarahan akan sentiasa menjadi kubu kuat BN dengan majoriti besar dalam PRU13,” katanya menambah kawasan ini mempunyai lebih daripada 4,000 pengundi baharu.
  

No comments:

Post a Comment