Thursday 9 August 2018

Hampir 100 hari pentadbiran PH, mana royalti minyak 20 peratus? - Karim


KUCHING: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempunyai tujuh hari lagi untuk menunaikan semua perkara yang dijanjikan dalam tempoh 100 hari pemerintahan mereka. 

Bagaimanapun, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar) tidak yakin kerajaan PH mampu memenuhi semua janji ini dalam tempoh tersebut. 

Katanya, jika dilihat kembali hampir semua janji PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) masih belum dipenuhi meskipun sudah hampir 100 hari selepas pilihan raya 9 Mei lepas. 

Yang jelas hilang atau tidak dilaksanakan oleh PH ialah janji untuk memberi 20 peratus royalti minyak dan gas kepada Sarawak, ujar Karim. 

“Pakatan telah berjanji bahawa perkara ini akan dilakukan dalam masa 100 hari ini, sebaliknya pemimpin PH memutar belitkan isu ini dengan intepretasi yang berbeza oleh lain-lain pemimpin mereka. 

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad menjelaskan bahawa 20 peratus royalti adalah berdasarkan keuntungan manakala Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen berkata 5 peratus royalti minyak dan gas sedia ada ditambah dengan 20 peratus keuntungan. 

“Manakala Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata memberikan 20 peratus royalti kepada Sarawak akan menyebabkan negara muflis dan merampas industri minyak negara. 

“Ia cukup jelas kerajaan PH tidak mampu memenuhi janji-janji mereka dan janji-janji ini hanya untuk memenangi undi daripada rakyat,” katanya. 

Tambah Karim, pengundi telah tertipu dengan mempercayai janji PH untuk mempunyai kerajaan lebih baik tetapi malangnya sebaliknya yang berlaku. 

Kebanyakan kementerian persekutuan menurut Karim masih belum stabil dengan peranan menterinya adalah lebih untuk mencari kesalahan yang dilakukan oleh menteri dan kerajaan sebelum ini. 

“Satu-satunya janji PH yang hampir tercapai ialah untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) daripada kadar enam peratus kepada sifar. 

“Bagaimanapun, kempen pilihan raya PH bahawa kos kehidupan dan harga barangan akan turun selepas pemansuhan GST malangnya tidak berlaku. 

“Tiada apa-apa yang turun harga kecuali ‘shuttlecocks’ seperti apa yang didakwa oleh Chong,” ujar Karim. 

Sehubungan itu Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan menasihatkan pemimpin PH supaya ‘Mesti cakap serupa bikin’ dan menjadi pemimpin yang bertanggungjawab dan jangan menipu rakyat. -UtusanBorneo
 

No comments:

Post a Comment