Sunday, 5 August 2018

Sarawak jadi kuasa ragbi


TAHNIAH: Abdul Karim (berdiri, lima kiri) menyampaikan piala kejuaraan kepada SMK Sacred Heart yang mengungguli kategori lelaki bawah 18 tahun kejohanan ragbi 10-sebelah Piala Bro Albinus Edisi Ke-4 di Sibu semalam.
SIBU: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Hamzah berkata kerajaan sedang mempertimbang membina sebuah stadium ragbi di Sibu sejajar peningkatan populariti sukan itu.

“Ya, ragbi adalah salah satu sukan semakin meningkat di Sarawak dan kita mahu melihat Sarawak menjadi kuasa ragbi pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan kejohanan ragbi 10-sebelah Piala Bro Albinus Edisi Ke-4 di Stadium Tun Zaidi di sini semalam.

Bagi merealisasikan pelaksanaan stadium ragbi itu menjadi kenyataan, Abdul Karim berkata ia hanya berlaku jika Sibu terus menganjurkan pertandingan ragbi disertai pasukan datang dari seluruh bahagian negeri ini.

“Saya memberi jaminan bahawa kementerian saya sentiasa berada di sana untuk menyokong anda membangunkan sukan ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Romeo Christopher Tegong, Presiden Kesatuan Ragbi Sarawak Richard Song, Penaung Kesatuan Ragbi Sarawak Bahagian Sibu, Dato Sri Bartholomew Wong dan Pengerusi Kesatuan Ragbi Sarawak Sibu, Jeffery Ting.

Sebanyak 25 pasukan dibahagikan kepada tiga kategori telah mengambil bahagian pada kejohanan tersebut.

Buat pertama kali, kejohanan itu juga menarik sebanyak enam pasukan wanita untuk kategori wanita terbuka.

Kategori lelaki terbuka disertai 14 pasukan manakala kategori lelaki bawah 18 tahun disertai lima pasukan.

Sementara itu, Abdul Karim berpendapat penyertaan enam pasukan wanita kejohanan itu menunjukkan peningkatan populariti sukan tersebut.

Beliau berkata, tidak lama dahulu Kuching juga menganjurkan satu kejohanan ragbi dan semua ini sangat sesuai untuk pembangunan sukan itu di negeri ini.

Abdul Karim berkata, secara peribadi beliau sentiasa kagum dengan penuh minat terhadap sukan lasak itu.

“Saya mungkin tidak mempunyai peluang bermain sukan ini tetapi ia adalah satu sukan dengan watak pemainnya tidak pernah bertengkar dengan sesama sendiri, tidak seperti bola sepak di mana pemain kadang-kadang boleh jatuh dengan mudah menimbulkan masalah.

“Ragbi adalah salah satu sukan dapat melihat lawannya selalu menunjukkan semangat kesukanan dan memeluk satu sama lain selepas pertandingan,” katanya.

Oleh itu, Abdul Karim menasihatkan pemain-pemain ragbi meneruskan semangat mereka mempromosikan sukan itu.

“Ragbi adalah sukan baik dan menggalakkan lebih ramai pemain melibatkan diri dalam sukan ini dan berharap membantu Sarawak menjadi kuasa sukan ragbi di negara ini pada masa akan datang,” jelasnya. -UtusanBorneo
 

No comments:

Post a Comment