Saturday, 18 August 2018

Kagumi misi, visi sukan Sarawak


JEMPUTAN: Howard (tiga kiri) menyampaikan watikah jemputan kepada Abdul Karim disaksikan (dari kanan) Ong, Hii, Snowdan dan delegasi dari negeri Perak di Kuching semalam.
KUCHING: Kerajaan negeri Perak berminat menjadikan Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) sebagai model untuk menubuhkan perbadanan sukan mereka sendiri tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Perak, Howard Lee Chuan How berkata pemilihan Sarawak adalah kerana kejayaan negeri ini dalam membangunkan bidang sukan secara menyeluruh.

“Di bawah kementerian kami, kita dalam proses untuk menubuhkan perbadanan sukan negeri sendiri.

“Kita cuba menduplikasi apa yang Sarawak, Sabah dan Selangor telah buat dalam usaha memajukan sukan di Perak,” katanya pada Majlis Penyampaian Watikah Jemputan SUKMA XIX Perak 2018 di Bangunan Baitul Makmur di sini semalam.

Howard mengetuai seramai 12 delegasi kerajaan negeri Perak menjemput negeri-negeri yang akan bertanding pada SUKMA XIX di Perak bulan depan.

Menurut beliau, pihaknya kagum dengan misi dan visi ke hadapan Sarawak menjadikan sukan sebagai sumber ekonomi dan bukan sekadar industri semata-mata.

“Untuk itu, Perak bersedia menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan Sarawak dalam berkongsi pengetahuan untuk memanfaatkan pembangunan sukan di kedua-dua negeri tersebut,” katanya.

Beliau juga berharap penganjuran SUKMA XIX (Perak 2018) menjadi landasan bagi mengeratkan hubungan bukan sahaja sesama atlet malah negeri-negeri bertanding biarpun berbeza ideologi politik.

“Kita bersedia sepenuhnya menjadi tuan rumah SUKMA kali ini. Semua 12 daerah seluruh Perak terlibat sepenuhnya membabitkan 39 venue sukan,” jelasnya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pihaknya yakin Perak mampu menjadi tuan rumah SUKMA XIX dengan baik dan berjaya.

Katanya, Sarawak mempertaruh kontinjen terbesar yang turut disertai seramai 17 ketua dan penolong ketua kontinjen dalam misi merampas semula mahkota kejuaraan SUKMA edisi kali ini.

SUKMA XIX akan berlangsung dari 11 hingga 22 September depan dengan mempertanding sebanyak 29 acara sukan.

Sukan wajib ialah akuatik, badminton, berbasikal, bola sepak, gimnastik (artistik & gimrama), hoki, karate, boling padang, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, skuasy, pencak silat, tenpin boling dan wushu.

Manakala sukan pilihan ialah bola baling, bola jaring, bola keranjang, golf, judo, kriket, muaythai, petanque, ragbi, tinju, angkat berat, sepak takraw dan taekwondo.

Hadir sama Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hii Chang Kee dan Ketua Pegawai Eksekutif PSS, Dr Ong Ong Swee. -UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment