Friday 24 August 2018

Sarawak berhak sekat orang tidak diingini, kata menteri

August 24, 2018

Karim Hamzah berkata keputusan parti pemerintah negeri keluar Barisan Nasional tidak mempengaruhi tapisan imigresen.



PETALING JAYA: Menteri Sarawak mengingatkan pemimpin Amanah bahawa kerajaan negeri berhak menyekat orang tidak diingini, dan keputusan parti pemerintah keluar Barisan Nasional tidak mempengaruhi tapisan imigresen.

“Shazni nampaknya menyamakan sekatan imigresen sebagai warisan Barisan Nasional, dan oleh itu tidak patut ada sekatan kerana parti-parti di Sarawak sudah berpisah dengan BN. Beliau salah jika beranggapan sedemikian,” kata Datuk Abdul Karim Hamzah kepada FMT hari ini.

Beliau menjawab kenyataan Naib Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithin yang berang apabila ditahan di Lapangan Terbang Sibu hari ini.

Shazni berkata dia ke Sarawak atas urusan rasmi parti dan parti pemerintah negeri menyalahgunakan kuasa untuk menghalang individu tertentu atas alasan yang “jelas bermotifkan politik”.

“Kemarahannya yang mendadak dan buat perangai menunjukkan tindakan imigresen adalah betul,” kata Karim.

“Sarawak tidak mahu orang-orang yang tidak tahu menjaga tingkah laku masuk dan menyebabkan ketidakharmonian dalam negeri tercinta ini.”

Menteri pelancongan, keseniaan, kebudayaan, belia dan sukan Sarawak itu meminta Shazni merujuk buku-buku tentang hak-hak negeri itu seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Shazni hari ini mempertikai langkah pihak berkuasa Sarawak yang masih menghalangnya masuk ke negeri itu, lebih 2 bulan selepas gabungan 4 parti yang memerintah Sarawak mengumumkan keluar daripada BN.

“Jika kerajaan Sarawak yang kononnya telah keluar BN masih mengekalkan polisi dan pendirian politik yang sama, adalah lebih baik mereka masuk semula ke dalam BN,” kata pemimpin Amanah itu.

Pada Jun, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg mengumumkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) sepakat meninggal gabungan itu untuk membentuk pakatan baru dinamakan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Untuk rekod, Shazni juga pernah ditahan pada 25 April 2016 di Lapangan Terbang Sibu. -FreeMalaysiaToday
 

No comments:

Post a Comment