Thursday, 9 August 2018

Sarawak sedia terima jaguh olahraga dunia


LANCAR: (Dari kanan) Abdul Karim, Snowdan, Hii (dua kiri) dan tetamu lain merasmikan laman sesawang AMAC Ke-21.
KUCHING: Sarawak bersedia menyambut kedatangan lebih 3,000 jaguh olahraga dari 45 negara dalam Kejohanan Olahraga Master Asia (AMAC) Ke-21 yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 6 Disember 2019.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan Sarawak akan berusaha sebaik mungkin untuk menjadikan Sarawak tuan rumah terbaik bagi kejohanan berprestij itu.

“Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja memberi peluang kepada kita mempamer sebagai penganjur yang baik tetapi juga dapat memperkenalkan Sarawak dan Kuching kepada dunia luar.

“Ini kerana saya difahamkan ia melibatkan ramai atlet dan pegawai yang akan datang berkunjung ke Kuching.

“Ia bagus untuk industri pelancongan Sarawak kerana mereka akan datang membawa ahli keluarga mereka untuk melawat tempat-tempat menarik di sini,” katanya pada majlis perasmian laman sesawang kejohanan itu di Bangunan Baitul Makmur semalam.

Abdul Karim turut melahirkan rasa gembira dengan kejayaan Sarawak membida sebagai tuan rumah kejohanan itu semasa lawatan delegasi negeri di Rugao, China pada September 2017.

Jelasnya, kejayaan itu merupakan hasil kerjasama kerajaan negeri dan Persatuan Olahraga Master Malaysia.

Tambah beliau lagi, peserta yang mengambil bahagian merupakan bekas-bekas juara dunia yang pernah mewarnai arena sukan antarabangsa dan berusia 35 tahun ke atas.

Sementara itu, Presiden Persatuan Olahraga Masters Malaysia, S Sivapragasam berkata, pelancaran laman sesawang itu sangat penting untuk mempromosi kejohanan itu kepada orang ramai.

Katanya, promosi awal penting bagi membolehkan atlet terutama dari luar negara mengenali Kuching untuk memudahkan mereka membuat perancangan apabila datang kelak.

“Maklumat dalam laman sesawang ini akan disebarkan dalam bentuk risalah semasa Sukan Masters Asia Pasifik di Pulau Pinang dan Kejohanan Olahraga Masters Dunia di Malaga, Sepanyol diadakan pada awal September depan.

“Ini akan menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke Kuching kelak,” katanya.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi AMAC Ke-21 di amackuching2019.com.

Hadir sama Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Hii Chang Kee. -UtusanBorneo
 

No comments:

Post a Comment