Wong Ho Leng seorang yang berdedikasi dan komited dalam perjuangan politiknya. -Tuan Haji Abdul Karim Rahman Hamzah
KUCHING: Pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Wong Ho Leng disifatkan kehilangan besar dalam arena politik Sarawak meskipun mendiang berpegang kepada ideologi politik yang berbeza.
Menurut Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional Negeri (BNBBC) Sarawak Abdullah Saidol, Wong merupakan seorang pemimpin politik yang lantang berbicara terutama ketika membangkitkan isu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Sebagai seorang ADUN yang baharu, saya rasa bertuah dan bangga kerana berkesempatan mengenali seorang pemimpin seperti beliau terutama pengalaman berdepan dengannya setiap kali DUN bersidang.
“Bagi pihak rakan-rakan BNBBC Sarawak serta semua setiausaha politik Ketua Menteri, saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Mendiang Wong Ho Leng,” kata Abdullah yang juga ADUN Semop dan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri.
Menteri Muda Perumahan merangkap ADUN Asajaya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pula melihat Wong sebagai seorang yang berdedikasi dan komited dalam perjuangan politiknya.
“Hakikatnya mendiang seorang pemidato yang baik dan Sarawak telah kehilangan seorang pemimpin politik yang baik walaupun mendiang pemimpin yang duduk dalam barisan pembangkang.
“Beliau adalah seorang yang profesional dan mempunyai ramai rakan dalam BN,” kata bekas pengerusi BNBBC Sarawak itu.