Malah dapat meningkatkan undi popular cecah 60 peratus
Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Dr. Jeniri Amir mendengar soalan yang diajukan oleh Datuk Zaini Hassan. -@ybkarimsays |
KOTA SAMARAHAN 27 Jan. - Barisan Nasional (BN) diyakini dapat mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) berdasarkan populariti Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.
Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Jeniri Amir berkata, parti itu juga dipercayai dapat meningkatkan undi popular mencecah 60 peratus berbanding 55 peratus pada pilihan raya negeri sebelum ini.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, dalam tempoh lima tahun selepas memenangi pilihan raya kali ini, Adenan bagaimanapun perlu pantas dan bersuara lebih nyaring untuk menterjemahkan idea serta melaksanakan mandat yang diberikan.
Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mendengar soalan dengan sepenuh perhatian. -@ybkarimsays |
“Rakyat Sarawak mengidamkan pembangunan luar bandar sama maju dengan bandar, semua etnik menikmati kemajuan, negeri ini dapat berdiri sama tinggi dengan Semenanjung.
“Hanya melalui pembangunan rancak dan peluang ekonomi yang luas dapat terus mengekalkan BN di Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang ahli panel dalam Program Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara (MPN) Bersama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang membincangkan forum bertajuk Sudah Sejahterakah Rakyat Sarawak? di Panggung Eksperimen, Fakulti Sains Gunaan dan Kreatif, Unimas di sini hari ini.
Selain Jeniri, program itu turut menampilkan ahli panel terdiri daripada Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; Dekan Fakulti Sains Sosial Unimas, Prof. Madya Dr. Neilson Illan Mersat dan pakar perlembagaan dari Universiti Islam Malaysia (UIA) mewakili MPN, Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz, manakala Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan bertindak sebagai moderator.