KUCHING: Hukuman keras harus dikenakan ke atas pelajar dan pensyarah institusi pengajian tinggi (IPT) yang terlibat rasuah.
Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk ABdul Karim Rahman Hamzah berkata Malaysia, amnya, dan Sarawak, khasnya, memerlukan pensyarah yang boleh dipercayai dan pelajar yang benar-benar cemerlang.
Beliau berkata jika benar insiden seperti itu berlaku di IPT di negara ini, ia perbuatan keji yang mesti dihapuskan segera.
"Pelajar dan pensyarah terlibat rasuah ini tidak layak berada di tempat mereka sekarang. Kita memerlukan pensyarah yang boleh dipercayai dan pelajar yang benar-benar cemerlang.
"Kita tidak mahu graduan yang menipu lahir daripada universiti-universiti kita. Hukuman keras mesti dikenakan ke atas mereka ini," tegasnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil yang mengatakan wujud salah laku rasuah dalam kalangan pelajar IPT di negara ini.
Menurutnya, pelajar terbabit akan merasuah pensyarah untuk mendapatkan kelulusan dalam peperiksaan.