September 21, 2011
 |
JUARA: Abdul Karim (dua kiri) menyampaikan piala juara kepada ketua pasukan Kaslo FC sambil disaksikan Zawawi (kiri), Haidel dan Buang (belakang) di Kampung Sambir, Asajaya. |
ASAJAYA: Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abdul Karim Rahman Hamzah melahirkan rasa bangga dengan penganjuran kejohanan tertua, Piala Perpaduan Sambir yang telah mencapai matlamatnya untuk menyatupadukan rakyat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya ternyata kagum dengan penganjuran kejohanan itu yang kini sudah mencecah edisi ke-45.
“Saya amat gembira dengan kejayaan pihak penganjur kejohanan Piala Perpaduan Sambir yang menjadikan acara sukan itu berprestij diadakan setiap tahun,” katanya berucap merasmikan penutupan kejohanan itu di sini Ahad lalu.
Hadir sama Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Haidel Heli, Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Asajaya Buang Bolhassan dan pengerusi penganjur, Zawawi Keri.
Kejohanan berkenaan pada mulanya dinamakan Piala Ekspress Sambir ditukarkan kepada Piala Ketua Menteri dan kemudiannya ditukar kini sebagai Piala Abdul Karim.
Abdul Karim berkata kejohanan itu bukan sahaja menjadi medan bagi menyatupadukan penduduk, malah sebagai gelanggang melahirkan pemain-pemain bola sepak berbakat di peringkat akar umbi.
Menurutnya, kejohanan Piala Perpaduan Sambir juga sinonim dengan memeriahkan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri kerana dianjurkan selepas Hari Raya terbabit.