KUCHING: Abdul Karim Rahman Hamzah (BN-Asajaya) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah sekiranya Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) terus melemparkan tuduhan tidak berasas kepadanya.
Beliau menjelaskan, tanah miliknya yang berdekatan dengan tapak membangunkan sesuatu projek di kawasan Siol Kandis, Petra Jaya itu terletak di luar kawasan yang termaktub dalam Seksyen 47.
“Tanah itu terkecuali daripada Seksyen 47 kerana posisinya memang tidak terletak dalam kawasan yang termaktub, bukannya atas kedudukan saya (dalam kerajaan).
“Saya tidak tahu bagaimana beliau (Chong) sampaikan perkara itu kepada orang lain, tetapi sekiranya beliau keterlaluan, saya rasa saya perlu mengambil tindakan undang-undang mengenai perkara ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, semalam.
Abdul Karim memberitahu, beliau juga tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan agar tanahnya dikecualikan daripada Seksyen 47.
Katanya, keluarganya juga memiliki beberapa bidang tanah di kawasan tersebut yang sudah digunakan kerajaan untuk membina jalan dan diberi pampasan.
Terdahulu, suasana Persidangan DUN sesi petang semalam sedikit kecoh apabila Chong mempersoalkan mengapa sebahagian kecil dari kawasan tanah yang dipercayai untuk dibangunkan bagi membina Sekolah Menengah Kebangsaan Siol Kandis, Petra Jaya dikecualikan.