Ogos 28, 2015
RESTASI CEMERLANG: Pelajar-pelajar kebanggaan SMK Asajaya bergambar bersama-sama Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. |
ASAJAYA: Ibubapa diseru agar tidak menyemai semangat tidak acuh terhadap aktiviti pembelajaran di sekolah dalam diri anak-anak mereka.
Menteri Muda Perumahan dan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, ketika merasmikan Majlis Kesyukuran Pelajar-Pelajar PPU dan SPM 2014 Melanjutkan Pelajaran Ke Universiti di SMK Asajaya hari ini, berkata sebaliknya semangat yang harus disemai ialah semangat juang yang tinggi untuk berjaya dalam pendidikan.
Beliau berkata walaupun secara amnya, rata-rata ahli masyarakat di Asajaya termasuk dalam golongan tidak berada, ini tidak membawa maksud tiada apa yang mampu dilakukan untuk mengubah masa hadapan keluarga masing-masing.
Antara lain, ujar beliau, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang adalah contoh anak jati Asajaya yang telah berjaya mengubah nasib keluarganya melalui pencapaian akademik yang cemerlang.
Abdul Karim, yang juga merupakan ADUN Asajaya, berkata Rubiah telah menjawat jawatan yang tinggi dalam sistem pentadbiran tempatan sebelum menjadi wakil rakyat.