Showing posts with label Profesor Dr Peter Songan. Show all posts
Showing posts with label Profesor Dr Peter Songan. Show all posts

Friday, 22 February 2013

3,000 pelajar UNIMAS terima BB1M


KOTA SAMARAHAN: Lebih 13,000 pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan menerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang bakal diagihkan mulai hari ini (22 Februari) dengan nilai keseluruhan lebih RM3.25 juta. 

Simbolik penyerahan BB1M dilakukan oleh Menteri Muda Pembangunan Belia Abdul Karim Rahman Hamzah pada majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna Student Pavilion, UNIMAS di sini semalam.

Pemberian BB1M bernilai RM250 setiap pelajar ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban perbelanjaan pembelian buku pengajian malah ia diharap dapat memupuk minat membaca di kalangan rakyat khasnya pelajar di negara ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata pemberian BB1M dan pelbagai bentuk bantuan oleh kerajaan adalah sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kesukaran rakyat.

Bagaimanapun katanya, rakyat tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada bantuan-bantuan seumpama ini sebaliknya sedaya upaya berusaha memperbaiki dan memajukan diri sendiri dengan bantuan yang diberikan.

“Terdapat banyak bantuan yang diberikan kerajaan, antaranya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) termasuk Bantuan Awal Persekolahan RM100 untuk anak-anak sekolah di peringkat sekolah rendah.

“Tetapi ingin saya tegaskan di sini bahawa saya tidak mahu rakyat bergantung sepenuhnya kepada bantuan-bantuan yang diberikan kerajaan ini tanpa usaha untuk memajukan diri sendiri,” katanya.