Thursday, 6 February 2020

Usaha membawa balik artifak dan tulang manusia prasejarah dipergiatkan

Pada penghujung bulan ini, Kerajaan Negeri Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak (MTAC) akan membawa balik artifak dan tulang manusia prasejarah terawal yang ditemui di Gua Niah, antara warisan sejarah Sarawak yang dibuat kajian oleh University of Florida, USA.
Saya bersama rakan rakan dari MTAC dan Jabatan Muzium Sarawak akan ke universiti itu untuk tujuan tersebut dan berharap pihak universiti terbabit akan mengembalikan warisan itu kepada Sarawak.
Mengimbas penemuan warisan sejarah Sarawak itu, tulang-temulang manusia prasejarah itu merupakan tamadun awal manusia ditemui di Gua Niah dan pada masa itu kita tidak mempunyai kepakaran dan kelengkapan untuk membuat kajian.
Keadaan itu sekali gus telah menarik minat University of Nevada di Las Vegas menjalinkan kerjasama dan membuat kajian tentang penemuan tersebut.
Hasil kajian mereka turut mendapati tulang manusia prasejarah itu berusia dalam 40,000 tahun dan selepas kajian lengkap di universiti itu, sebuah lagi universiti iaitu University of Florida turut berminat membuat kajian sama.
Tulang tersebut telah dihantar ke universiti berkenaan dengan jumlah lebih daripada 100 tulang untuk kajian yang sama.
Selepas beberapa tahun, Sarawak yang kini mempunyai universiti dan muzium yang sesuai berkehendakkan agar tulang itu dibawa balik dan berharap dengan jasa baik University of Florida, pihak Kementerian dan Jabatan Muzium Sarawak akan dapat menghantar kembali tulang tersebut ke negeri ini.
Kita turut akan mengadakan majlis menandatangani perjanjian penyerahan yang bersesuaian untuk penghantaran balik warisan sejarah Sarawak tersebut.
Ia akan dilakukan pada penghujung bulan ini dan penghujung tahun ini kita juga akan mengadakan persidangan antarabangsa anjuran muzium yang lebih spesifik kepada Gua Niah serta pencapaian di Asia Tenggara.
Sejak dua tahun lepas, Gua Niah merupakan tempat kegemaran untuk beberapa pihak universiti luar menjalankan kajian, antaranya, University of New South Wales, Australia telah membuat kajian selama dua tahun melihat kembali usia tulang manusia itu yang dikatakan bukan berusia 40,000 tahun sebaliknya lebih awal daripada itu iaitu tambahan 25,000 tahun lagi dengan usianya adalah 65,000 tahun.
Banyak yang boleh kita tawarkan dalam industri ini dan kita juga mempunyai muzium besar yang akan dilancarkan di Kuching pada penghujung tahun ini iaitu kedua terbesar di Asia Tenggara.
Saya turut menyatakan fokus Kerajaan Sarawak adalah mempromosikan tarikan semula jadi kepada pelancong yang datang ke Sarawak yang bukan sebagai syurga beli-belah kerana kita tidak mempunyai pusat beli-belah besar memandangkan mereka yang ingin membeli-belah boleh ke Singapura.
Ramai pelancongan luar negara yang minat dengan alam semula jadi, gua, sungai dan kehijauan, mengkaji kebudayaan… inilah (Sarawak) tempatnya.
Kita begitu berbangga apa yang Sarawak ada kerana apabila bercakap mengenai pelancongan, ini antara yang ingin negeri ini promosikan sebanyak yang mungkin kepada dunia luar.


No comments:

Post a Comment