Wednesday 19 February 2020

Kerajaan negeri Sarawak akan terus memberi insentif kepada atlet atlet yang cemerlang di arena antarabangsa

Kerajaan Negeri Sarawak melalui Kementerian Belia dan Sukan Sarawak (MYSS) akan terus memberi insentif kepada atlet atlet tempatan yang mencapai kecemerlangan di arena sukan antarabangsa.
Kita berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Haji Openg yang telah memberi sokongan ini semasa menyempurnakan Majlis Malam Penghargaan MYSS 2020 yang berlangsung dibandaraya Kuching pada 18 Februari yang lalu.
Seramai 24 atlet Sarawak yang memenangi pingat pada Sukan Asia Tenggara (SEA) dan kejohanan sukan antarabangsa lain pada tahun lalu telah menerima insentif daripada Kerajaan Negeri Sarawak dimajlis ini.
Daripada jumlah tersebut, 20 atlet Sukan SEA telah menerima insentif berjumlah RM56,000 manakala empat atlet yang memenangi dalam kejohanan sukan antarabangsa lain menerima insentif RM36,000. Stephanie Ensol menerima insentif RM20,000 apabila memenangi satu pingat emas, dua pingat perak pada Kejohanan Angkat Berat Asia 2019 di Kazakhstan. Diikuti atlet akuatik, Welson Sim Wee Sheng menerima RM7,500 susulan kejayaan merangkul dua perak dan satu gangsa pada Kejohanan Sukan SEA 2019 di Manila. Manakala, atlet bina badan iaitu Buda Anchah dan atlet sukan gusti lengan, Abigail Kee Zing Ning masing-masing menerima RM6,000.
Buda memenangi pingat perak dan gangsa dalam Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Ke-53 di Batam, Indonesia pada tahun lalu sementara Abigail memenangi pingat perak dalam Kejohanan Gusti Lengan Dunia IFA 2019 di Rumia, Poland.
Sementara itu, atlet Taekwondo, Nurul Hidayah Abdul Karim menerima RM5,000 atas kejayaannya merangkul pingat emas menerusi acara berpasangan dalam sukan Taekwondo pada Kejohanan Sukan SEA 2019. Atlet lari pecut negara, Nixson Kennedy dan atlet menembak Ong Chee Kheng masing-masing menerima RM4,500 dalam Kejohanan Sukan SEA 2019. Nixson merangkul pingat perak dan gangsa dalam acara larian, manakala Ong memenangi pingat gangsa dan perak dalam acara menembak. Dr Malven Abdullah pula menerima RM4,000 apabila merangkul pingat perak untuk sukan bina badan dalam Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Ke-53 di Batam, Indonesia pada tahun lalu. 
Manakala, Jackie Wong Siew Cheer, Grace Wong Xie Mie, Awangku Abdul Rahman Awang Marajaya, Sufiqriyani Edie, Bibiana Ng Pei Chin dan Augustine Rudy Grocer masing-masing menerima RM3,000 apabila berjaya memenangi pingat perak dalam acara masing-masing pada Kejohanan Sukan SEA 2019 di Manila.
Bagi Jonathan Nyepa, Queenie Ting Kung Ni, Jantan Hintu, Haifa Chin Ishak, Nadia Chin Ishak, Cindy John Pasan, Fidelia Limang Telajan, Ivana Sonia Beriak dan Janeter Kadir maisng-masing menerima RM1,500. Kesemua mereka berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara masing-masing pada pada Kejohanan Sukan SEA di Manila tahun lalu.







 

No comments:

Post a Comment