Sunday, 2 February 2020

Golongan belia di Sarawak akan sentiasa diiberi perhatian Kerajaan Negeri


KUCHING: Kerajaan Sarawak sedia membantu belia dalam menjayakan dan menganjurkan program bermanfaat untuk golongan itu di negeri ini.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kementeriannya sedia menghulurkan dana kepada belia untuk menganjurkan programprogram bermanfaat bagi golongan tersebut.
Tegasnya, ini bagi mempersiapkan golongan itu yang merupakan pemimpin masa hadapan Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.
“Kementerian kita akan memberi sokongan penuh dari segi dana bagi menganjurkan program khusus untuk belia jika ia dirancang dengan betul dan memberi manfaat kepada belia di kawasan tersebut.
“Kamu (belia) boleh memilih untuk menganjur apa jua aktiviti yang kamu suka, seperti kesenian, kebudayaan, sukan dan sebagainya yang memberi manfaat kepada kamu semua,” katanya ketika sesi dialog awam Jelajah Belia
Sarawak 2020 (Samariang) Kampung Semariang Batu di sini semalam.
Abdul Karim yang juga Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan berkata, dengan ini dapat menggalakkan golongan belia dalam memperkasakan potensi kepimpinan mereka.
Tambahnya, belia merupakan aset penting yang bakal memaju kemajuan dan masa depan sesebuah negara.
“Kita mahu mereka menjadi pemimpin yang berjaya, jadi mereka harus berani dan bijak dalam menganjurkan aktiviti yang boleh memperkasakan diri mereka,” tegasnya lagi.
Pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Ahmad Zaidi untuk aktiviti sekolah dan RM10,000 geran sukan untuk program inkubator usahawan Samariang.
Program itu dihadiri lebih 1,000 orang yang diadakan dua hari yang berakhir semalam.
Hadir sama Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan tetamu kehormat lain.
SUMBER BERITA:Utusan Borneo (Tarikh 02.02.2020)





No comments:

Post a Comment