Sunday, 7 July 2013

Youth Central pusat sinergi dan interaksi sosial belia dibuka

July 7, 2013

KUCHING: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak kini membuka Youth Central, sebuah pusat sinergi dan interaksi sosial khas untuk belia di bandar raya ini.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pusat sehenti khas bagi golongan muda itu mampu menjadi platform untuk menggalakkan belia khususnya di Kuching terlibat dalam aktiviti berfaedah.

“Kita amat khuatir tentang masalah belia pada masa ini kerana kebanyakan mereka terlibat dalam jenayah ragut, gaduh, minum alkohol serta aktiviti melepak di sekitar Tebingan Kuching.

“Oleh itu, saya percaya dengan tertubuhnya Youth Central ini dapat membantu menggalakkan belia di sini melakukan dan terlibat dalam aktiviti yang mampu membangunkan diri mereka ke arah yang positif,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Youth Central di aras bawah Bangunan Medan Pelita di sini, semalam.

Karim memberitahu, pusat tersebut yang menyediakan pelbagai kemudahan diperlukan belia sudah pastinya mampu menarik kedatangan anak-anak muda.

Pada masa sama, beliau menggalakkan para belia terlibat dalam aktiviti sukarela bersama pihak sekolah dan polis bagi membentuk sumber manusia yang mampu memberi sumbangan kepada pembangunan negara.
 
“Perubahan zaman pada masa kini banyak mengubah landskap minat belia sekarang, sebab itu saya yakin pendekatan yang diambil belia AZAM mampu membawa arus perubahan kepada pembangunan belia di bandar raya ini khasnya, ke arah yang lebih baik dan sihat,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap para belia memanfaatkan kemudahan yang telah disediakan itu sebaik mungkin bagi tujuan meningkatkan kemahiran diri dalam bersama-sama memajukan diri dan negara.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak Datu Aloysius J Dris, Datuk Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, Residen Bahagian Kuching Abdul Rahman Sebli Senusi dan tetamu kehormat lain.
    

No comments:

Post a Comment