KUCHING: Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) telah menaja sejumlah RM500,000 untuk menjayakan Festival Bubur Lambuk dan Bubur Pedas sepanjang tempoh 10 tahun pelaksanaannya di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif BERNAS Kamaluddin Effendi berkata festival yang turut mendapat kerjasama Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) ini merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat sempena bulan Ramadan.
Selain itu, ia juga menurutnya sebagai platform untuk menyemarakkan semangat bergotong-royong di kalangan masyarakat, khasnya belia ketika bulan Ramadan.
“Tahun ini merupakan kali ke-10 BERNAS menjadi penaja rasmi festival ini di mana syarikat telah menaja sejumlah RM50,000 bagi menjayakan acara kali ini melibatkan 24 lokasi di seluruh negeri.
“Selain menanam semangat bergotong-royong, penganjuran festival ini diharap dapat memberi pengetahuan kepada golongan belia mengenai cara masakan bubur lambuk dan bubur pedas yang merupakan salah satu daripada makanan tradisi ketika bulan Ramadan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengagihan Bubur Lambuk dan Bubur Pedas sempena Festival Bubur Lambuk dan Bubur Pedas SABERKAS BERNAS 2013 di pekarangan Ibu Pejabat Beras Corporation Sdn Bhd di Jalan Green di sini semalam.
Pengagihan bubur berkenaan telah dilakukan oleh Naib Presiden SABERKAS Abdul Karim Rahman Hamzah yang juga Menteri Muda Perumahan dan Menteri Muda Pembangunan Belia.
Antara lokasi yang telah menjayakan festival adalah Medan Niaga Satok, Bandar Baharu Samariang, Asajaya, Bintulu dan disusuli di Miri, Marudi, Sri Aman, Gedong serta lain-lain lokasi yang akan dinyatakan kelak.
Bagi tujuan festival kali ini sebanyak 1,200kg beras digunakan melibatkan 100 periuk dengan anggaran pengagihan 50,000 bungkus bubur.
No comments:
Post a Comment