Sunday, 14 July 2013

Sesi uji pandu bertukar cemas

July 14, 2013

MALANG TIDAK BERBAU: Abdul Karim (tiga kanan)
serta yang lain memerhatikan kereta yang mengalami kerosakan
selepas kemalangan tersebut, semalam.
KUCHING: Sesi pandu uji Great Wall Motor (GWM) bertukar cemas apabila kereta yang turut dinaiki oleh Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah terbalik dalam satu kemalangan, semalam.

Bagaimanapun, Abdul Karim yang merupakan penumpang hadapan hanya mengalami sedikit kecederaan di tangan kirinya dalam insiden yang berlaku pada kira-kira jam 10.30 pagi selepas majlis pelancaran model kenderaan berkenaan di sini.

Kereta tersebut turut dinaiki oleh Ketua Pegawai Eksekutif Green Oranges Sales and Services Sdn Bhd, Sheikh Muhamad Azli Tan Sri Sheikh Muhamad Nasuddin dan Pengarah Eksekutif YLH Autoworld Sdn Bhd Hong Boon Pau yang tidak mengalami sebarang kecederaan kecuali pemandu yang tercedera di kepala.

“Saya pernah mengalami situasi seperti ini, sebab itu saya tidak panik dan ada cedera sikit sahaja kecuali pemandu yang mengalami kecederaan di kepala.

“Masa insiden berlaku, pemandu mengundur dengan membuat pusingan yang agak laju menyebabkan kenderaan terbabas, namun kita kena tahu mana-mana model kereta akan mengalami situasi sama jika terlalu laju,” kata Abdul Karim menceritakan detik cemas itu kepada pemberita, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu berharap, pemandu kereta terbabit dapat sembuh dengan segera.

Pemandu berpengalaman mereka yang dikenali Muzamin, 40-an, mengalami pendarahan di kepala dipercayai akibat cermin hadapan kereta yang pecah.

Beliau terus dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Muhamad Azli ketika ditemui memberitahu, Green Oranges yang merupakan pengedar tunggal kenderaan GWM di Malaysia akan mengadakan ‘post-mortem’ mengenai insiden yang pertama kali berlaku itu.

“Ini kali pertama insiden seperti ini berlaku sepanjang kita melakukan jerayawara yang sama, malah ia dibuktikan sendiri berkualiti oleh Yang Berhormat kita.

“Insiden mungkin disebabkan faktor kemanusiaan, kita telah melakukan demo atau pandu uji seperti ini di seluruh Malaysia seperti Kuala Lumpur dan Borneo dengan kereta sama pada acara yang sama,” katanya.

Menurut beliau lagi, pihaknya telah mengadakan acara yang sama sebanyak tujuh kali di Borneo dan 10 kali di Kuala Lumpur, namun tidak ada masalah sedemikian.

“Namun, kita akan melakukan ‘post-mortem’ dan kami harus bertanggungjawab mengenai insiden ini,” tegasnya.
   

No comments:

Post a Comment