Wednesday 24 July 2013

Rumah transit akan diperbanyak: Karim


KUCHING: Kerajaan negeri akan memperbanyakkan rumah transit terutama di bandar-bandar besar di Sarawak bagi menampung keperluan masyarakat yang berhijrah dari luar bandar ke bandar.

Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana kerajaan sedar penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar turut mendorong kepada pertumbuhan pe-nempatan setinggan.

“Kita (kerajaan) amat prihatin terhadap penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar kerana perkara ini turut menyumbang kepada koloni setinggan di bandar-bandar besar di negeri ini.

“Oleh itu, kerajaan me-nubuhkan Majlis Setinggan Negeri yang dipengerusikan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang juga Menteri Perumahan bagi membincang dan menyelesaikan masalah berkaitan setinggan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha kerajaan untuk menyediakan tempat kediaman kepada penduduk yang berhijrah dari luar bandar ke bandar selain usaha mengurangkan setinggan.

Karim menjelaskan, pada masa ini kerajaan sudah membina rumah transit di bandar besar negeri ini untuk disewakan kepada mereka yang memerlukan.

“Rumah ini (transit) dikenakan sewa yang agak rendah iaitu tidak melebihi RM200 sebulan,” ujarnya.

Selain itu katanya, kerajaan turut membina Rumah Mampu Milik (RMM) untuk dijual kepada mereka yang tidak mempunyai rumah.

“Kerajaan memberikan subsidi untuk kos pembinaan rumah ini agar harganya tidak membebankan rakyat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Karim menambah bahawa kerajaan sentiasa berusaha membangunkan kawasan luar bandar agar penghijrahan ke bandar dapat dikurangkan.

“Perkara ini (pembangunan luar bandar) juga penting agar penghijrahan ke bandar dapat dikurangkan dan pada masa sama meningkatkan taraf hidup mereka,” kata Karim.

No comments:

Post a Comment