Sunday, 7 July 2013

Program pembangunan belia bina generasi berkualiti


KUCHING, Sabtu — Pelaksanaan pelbagai program untuk pembangunan belia di negeri ini sangat penting dalam membina generasi berkualiti, kata Menteri Muda Pembangunan Belia, Haji Abdul Karim Hamzah. 

Beliau menambah, dengan adanya Stesen Penjiwaan Belia diharap mampu digunakan sebagai ruang untuk membangun potensi peserta.

“Kita sering mendengar pelbagai masalah sosial yang melanda belia pada masa kini. Apabila Stesen Penjiwaan Belia ditubuhkan, maka para peserta jelas dalam mencapai objektif yang telah ditetapkan untuk kepentingan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pusat Belia AZAM dan Stesen penjiwaan Belia yang dianjurkan Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM) di sini, hari ini.

Karim yang juga Menteri Muda Perumahan berharap lebih banyak aktiviti yang dilaksanakan untuk para belia lebih-lebih lagi lokasi stesen tersebut terletak di tengah bandar raya Kuching iaitu di Medan Pelita. 

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif AZAM, Datu Aloysius Dris juga berharap pusat ini terus memberi manfaat kepada para belia yang mempunyai pelbagai latar belakang.

“Ini merupakan kelebihan kepada para belia di sini apabila boleh menguatkan kesatuan dalam kalangan komuniti tersebut. 

"Saya yakin pusat ini boleh mengembangkan rangkaiannya ke kawasan lain dengan mengadakan aktiviti di Medan Pelita kerana mendapat sokongan dari Pelita Holdings Sendirian Berhad,” jelasnya.

Hadir sama, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan Pengurus Kanan Perancangan Pelita Holdings, Haji Zainalabidin Sebli Hambali.
   

No comments:

Post a Comment