KUCHING: Pemain tenis muda di kalangan Bumiputera diharapkan terus menyinarkan bakat-bakat mereka bagi mengharumkan nama negeri ini.
Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar), Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ramai pemain tenis muda yang berpotensi di kalangan Bumiputera diharap dapat dilahirkan pada masa akan datang.
“Kejohanan-kejohanan tenis perlu dijadikan batu loncatan oleh pemain-pemain remaja bagi meningkatkan mutu permainan, selain mendapatkan pendedahan berguna agar dapat mewakili dan mengharumkan nama Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Kejohanan Tenis Terbuka Remaja anjuran Persatuan Tenis Bumiputera Sarawak (PTBS) di gelanggang tenis persatuan tersebut, di Jalan Demak, di sini semalam.
Hadir sama Timbalan Presiden PTBS, Mohd Abdul Kadir Johari dan Pengerusi Pengelola pertandingan, Ismail Abdullah.
Abdul Karim yang juga Menteri Muda Perumahan turut memperuntukkan geran berjumlah RM5,000 bagi pembangunan dan aktiviti persatuan tersebut.
Kejohanan selama dua hari bermula semalam itu bertujuan mencungkil bakat pemain-pemain tenis muda Bumiputera dan mempromosikan sukan tenis di kalangan remaja di sekitar bandar raya ini.
Para pemenang akan membawa pulang pingat serta sijil
.
No comments:
Post a Comment