KUCHING, Sabtu - Menteri Muda Pembangunan Belia Haji Abdul Karim Rahman Hamzah mengalami detik cemas apabila kenderaan pandu uji yang dinaikinya hilang kawalan lalu terbalik di Trivillion di sini, hari ini.
Kejadian yang berlaku jam 10.30 pagi itu menyaksikan kenderaan pandu uji model SUV terbalik lalu terheret kirakira tiga meter hingga ke tepi jalan raya.
CEDERA ... Muzamin yang cedera di bahagian kepala dibantu oleh rakannya untuk dibawa ke hospital untuk menerima rawatan segera. |
Kemalangan tersebut dipercayai berlaku semasa pemandu melakukan pusingan U menyebabkan tayar bahagian belakang terangkat lalu hilang kawalan dan terbabas.
Dalam kejadian itu, empat orang penumpang dalam kenderaan termasuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Sheikh Muhamad Azli Tan Sri Nasimuddin Kamal, Hong Boon Pau dan pemandu yang hanya dikenali sebagai Muzamin, 40-an.
Semua penumpang tidak mengalami kecederaan kecuali pemandunya, yang cedera di bahagian kepala dipercayai terkena serpihan kaca dan terhantuk ke hadapan.
Menurut Karim yang ditemui di lokasi kejadian semasa cubaan kali kedua pandu uji tersebut dilakukan, kenderaan tersebut dipandu agak laju.
“Apa jua model kenderaan boleh kemalangan sekiranya dipandu dengan laju tetapi, jika sesuatu kemalangan berlaku, jangan panik dan cuba keluar dari kenderaan dengan perlahan,” ujarnya yang mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan kiri.
Pemandu kenderaan pandu uji tersebut dibawa terus hospital oleh pihak penganjur untuk menerima rawatan lanjut. Sementara itu, Ketua Pegawai Esekutif Green Oranges Sales & Services Sdn. Bhd., Sheikh Muhamad Azli Tan Sri Nasimuddin Kamal berkata, pihaknya akan melakukan bedah siasat punca sebenar kemalangan tersebut berlaku.
“Kita yakin, kemalangan itu berpunca daripada faktor manusia, bagaimanapun, kita akan melakukan bedah siasat,” tegasnya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Menurutnya, ini merupakan kali pertama model kenderaan tersebut kemalangan memandangkan, sebelum ini, pihaknya telah melakukan tujuh kali jerayawara promosi yang sama di Kepuluan Borneo dan 10 kali di Semenanjung Malaysia.
“Kemalangan ini jelas menunjukkan bahawa kenderaan kita berkualiti dan tiada masalah,” ujarnya ringkas.
No comments:
Post a Comment