Wednesday, 28 March 2018

Belia 25-40 tahun banyak terlibat penyalahgunaan dadah: Karim


KUCHING: Golongan belia berusia 25 hingga 40 tahun adalah antara yang banyak terlibat dalam penyalahgunaan dadah pada 2017.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, mereka terdiri daripada penganggur dan yang ada pekerjaan.

“Pada tahun 2017, seramai 2,056 orang yang ditangkap akibat penyalahgunaan dadah adalah terdiri daripada mereka yang berusia 25 hingga 29 tahun.

“Sementara seramai 1,894 orang (berusia 30 hingga 34 tahun) dan seramai 1,688 orang (berusia 35 hingga 40 tahun) yang kita anggap semuanya kategori belia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Peringkat Negeri yang dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Che Kodir Baharum dan Pengarah AADK Sarawak Wan Madihi Wan Salleh di sini, semalam.

Secara keseluruhan, kata Karim yang juga pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sarawak, pada 2017 seramai 6,953 individu ditangkap berbanding hanya 6,147 orang pada tahun 2016.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan penyalahgunaan dadah di Sarawak, katanya, dadah jenis syabu antara yang paling banyak dirampas atau popular jika dibandingkan pada 2016.

Pada 2016 katanya, jumlah syabu dirampas kira-kira sembilan kilogram (kg) dan menunjukkan peningkatan tiga kali ganda pada 2017 iaitu lebih 28kg.

“Selain itu antara yang ketara menunjukkan peningkatan dirampas adalah dadah jenis ketamin iaitu pada 2016 sebanyak 1.5kg dan meningkat kepada 5kg pada tahun berikutnya.

“Kedua-dua jenis dadah itu menunjukkan peningkatan besar dari segi tangkapan atau rampasan,” katanya. -UtusanBorneo
 

No comments:

Post a Comment