Wednesday 21 March 2018

Karim gembira sekiranya benar Mawan jadi ahli PBB

March 21, 2018

KUCHING: Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah gembira sekiranya benar Tan Sri William Mawan Ikom menjadi ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan yang juga Naib Presiden PBB itu berkata beliau belum lagi pasti mengenai status keahlian Mawan dalam parti itu.

“Saya juga tidak tahu (Mawan ahli PBB), pejabat PBB lebih tahu...saya cuma tahu daripada surat khabar sahaja tapi adalah dengar khabar angin beliau merupakan ahli PBB.

“Saya belum lagi semak dengan pihak PBB yang bertanggungjawab terhadap pendaftaran ahli tetapi jika beliau sendiri sudah sahkan, saya gembira kerana PBB adalah terbuka kepada sesiapa sahaja kecuali bukan Bumiputera,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelancong Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Mengulas mengenai status Mawan yang merupakan Ahli Parlimen Saratok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan sama ada akan dicalonkan atau tidak dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti, Karim berkata ia bergantung kepada budi bicara kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).

Katanya, hanya perdana menteri dan ketua menteri selaku pengerusi BN Pusat dan BN Negeri yang berkuasa menentukannya, walaupun sekiranya Mawan dicalonkan untuk mempertahankan Saratok, ia adalah melanggar tradisi PBB di mana seorang ADUN tidak boleh menjadi Ahli Parlimen.

“Dalam politik, segalanya boleh berlaku sama ada seseorang itu menjadi calon atau tidak kerana ia bergantung kepada kepimpinan tertinggi iaitu perdana menteri dan ketua menteri.

“Biar mereka yang menentukannya kerana apa yang harus dilihat, calon itu harus berpotensi menang. Kalau letak calon yang mempunyai PhD tapi kalah pilihan raya, pun tidak guna juga...kita cuma mahu seseorang yang boleh menawan kerusi, yang bermakna dia diterima dan disukai rakyat,” katanya.

Manakala mengulas mengenai Parlimen Saratok sebagai kerusi selamat bagi BN kerana mempunyai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili PBB iaitu Kalaka dan Kabong, Karim berkata ia tidak boleh dijadikan sebagai jaminan.

“Kita tidak boleh melihat dari sudut itu kerana kita harus menghormati pengundi sebab mereka yang menentukan sama ada calon itu diterima atau tidak, termasuk jentera parti komponen BN di Saratok,” katanya. -UtusanBorneo
  

No comments:

Post a Comment