KUCHING: Ahli politik yang turut mengamalkan profesion guaman seharusnya lebih berhati-hati dalam menyelesaikan kes khasnya berkaitan dengan agama.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana perihal keagamaan adalah satu perkara yang amat sensitif bagi semua masyarakat.
“Ahli politik atau peguam yang juga ahli politik diharapkan lebih berhati-hati dalam menangani apa sahaja kes yang mereka kendalikan termasuk mengenai agama.
“Tidak mengira peguam itu Kristian atau Islam mereka sepatutnya berhati-hati dan jadikan yang berlaku itu sebagai pengajaran kepada semua rakyat kita sama ada kita Muslim, Kristian atau Buddha sekalipun,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Karim berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Persatuan Gereja Sarawak (ACS) yang mahu membuat laporan polis mengenai dakwaan serangan terhadap Uskup Agung Gereja Roman Katolik Simon Poh semasa berada di pekarangan mahkamah baru-baru ini.
Tambah Karim, beliau dimaklumkan juga dua atau tiga hari sebelum pendengaran kes berkaitan empat warga Sarawak murtad yang mahu mendapatkan pengiktirafan, terdapat tular yang menyeru masyarakat datang beramai-ramai ke mahkamah.
“Apabila tular seperti ini berlaku maka ramai yang datang ke mahkamah... sama seperti pendengaran kes mahkamah berkaitan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
“Masa pendengaran kes berkaitan NCR, ramai dalam kalangan masyarakat datang malahan ada yang datang dari Sibu, Bintulu atau Baram. Pada pandangan peribadi saya perkara seperti ini adalah biasa tetapi tidak digalakkan,” katanya.
Beliau pada masa yang sama menjelaskan bahawa dalam kes di mahkamah baru-baru ini, difahamkan tiada sebarang insiden yang tidak diingini seperti cedera dan sebagainya.
“Kita mungkin tidak dapat menghalang sesiapa sahaja dalam Facebook dan sebagainya yang menyatakan Uskup Agung diserang tetapi jadikan ia pengajaran kepada semua,” tegas beliau.
Mengulas mengenai ancaman bunuh terhadap Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian yang juga peguam mewakili empat warga Sarawak dalam kes berkenaan oleh pemilik akaun Facebook, Karim berkata ia sesuatu yang tidak betul dilakukan.
“Siapa sahaja individu itu saya berharap dia tidak serius dalam hal ini dan jangan terlalu beremosi sehingga mengancam orang kerana kita adalah sebuah negeri aman dan harmoni.
“Pada masa yang sama juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pihak berkaitan lebih awas dan memastikan perkara seperti ini ditangani dengan sebaiknya,” katanya. -UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment